Tilmiz

Wednesday, 20 February 2013

Murabbi Ibarat Nukleus Sel

Oleh : Azlan Sydney




Seorang murabbi ibarat nukleus dalam sel manusia. Di dalam sel manusia terdapat pelbagai komponen penting untuk memastikan sel itu terus hidup. Antaranya:

Mitokondria – untuk menghasilkan ATP @ tenaga
Ribosom – untuk menghasilkan protein daripada RNA(ribonucleic acid)
Membran sel – selaput luar sel yang menapis bahan2 yang memasuki sel
Sitoplasma – cecair dalam sel yang memegang setiap komponen sel lain
Nukleus – untuk menyimpan identiti sel dan mengawal aktiviti sel dan setiap komponen di dalam sel dan lain-lain..


Fokus perbincangan adalah pada nukleus. Berdasarkan fungsinya, nukleus

(a)    berperanan memastikan setiap komponen sel melaksanakan tugas masing-masing,
(b)   mengenalpasti sebarang kekurangan pada sel supaya dapat mengerah komponen yang berkaitan untuk menampung dengan segera kekurangan tersebut,
(c)    membawa identiti ‘badan’ (akan dibincang di bawah),
(d)   saling berkomunikasi dengan nukleus-nukleus sel yang lain
(e)   membahagi-bahagikan makanan mengikut keperluan setiap komponen
Apabila diperhatikan pada setiap komponen sel, boleh disimpulkan bahawa sebagai pembawa identiti, murabbi adalah nukleusnya dan komponen-komponen selebihnya adalah mutarabbi yang ada tugas dan ada keperluan masing-masing.

Apabila dibandingkan nukleus dengan murabbi, semuanya sangat bertepatan dengan bidang tugas seorang murabbi. Tidak akan sekali-kali seorang murabbi itu dapat berehat kerana setiap saat, darah akan dipam masuk untuk menghantar oksigen dan makanan serta akan mengambil karbon dioksida dan sisa, setiap masa tenaga diperlukan. Maka segala bahan yang masuk ke dalam sel perlu ditapis dengan sebaiknya oleh membran sel, dan nukleus perlu memastikannya. Juga, tenaga kimia mencukupi perlu dipastikan supaya proses penapisan, proses peralihan bahan dan proses-proses lain dapat dilaksanakan dengan sempurna. Maka nukleus jugalah yang akan menilai sebanyak mana tenaga yang perlu dihasilkan oleh mitokondria. Selain itu, nukleus akan memastikan setiap komponen sel tersebut akan mendapat makanan dan tenaga mencukupi.

Interaksi antara sel juga perlu untuk memastikan keperluan ‘badan’ tercapai. Sewaktu makan, terfikir tentang bagaimana tangan dan lidah berinteraksi antara satu sama lain. Oleh itu, telah wujud sistem saraf untuk membolehkan wujudnya interaksi di antara setiap sel dengan otak. Apabila suatu sel hendak berinteraksi dengan sel lain atas sebab keperluan, nukleus sel akan menghantar isyarat impuls ke otak. Otak hanya akan menghantar maklumat kepada nukleus yang berkenaan, dan nukleus tersebut akan menyebarkan maklumat tersebut kepada komponen-komponen sel di dalam selnya, lalu setiap komponen akan melaksanakan tugas menurut keperluan dan nukleus akan memastikan mereka melaksanakannya. Andai nukleus tidak menjalankan tugasnya, nescaya bencana besar akan berlaku kepada ‘badan’; tidak dapat menggerakkan makanan barangkali andai sel tersebut adalah sel otot tangan. Jadi, penting bagi setiap nukleus untuk menjalankan tugas mendidik setiap komponen sel dan menyampaikan maklumat yang betul kepada komponen sel. 

Dapat disimpulkan, pentingnya antara murabbi itu untuk melaksanakan amal jamaie dalam memastikan sistem tarbiyah itu berjalan dengan sempurna.
Namun, terdapat satu perkara yang perlu juga diambil berat oleh seorang murabbi, dari segi kesedaran terhadap kemampuan penguasaannya ataupun isti’abnya. Setiap sel ada keperluan dan tugas berbeza. Tangan perlu menjadi kuat antara sesama sel untuk mengangkat benda, tetapi lidah perlu menjadi lembut tetapi sensitif untuk merasa dan bertutur. Tangan tidak mampu menahan perbezaan suhu yang tinggi, tetapi lidah dapat menahan lebih tinggi, seperti meminum air panas. Jadi, tarbiyah untuk sel tangan dan sel lidah berbeza uslubnya masing-masing mengikut keperluan komponen-komponen sel tersendiri. Oleh itu, penting untuk setiap murabbi sedar isti’ab diri sendiri pada setiap mutarabbi mengikut marhalah yang sedang mereka berada, dan murabbi perlu bijak bertindak dalam menggunakan setiap mutarabbinya. 

Selain itu, ini jugalah antara kepentingan amal jamaie, supaya dapat saling membantu pada setiap kekurangan. Sel otot menggerakkan tangan, sel tulang memberi sokongan pada otot, sel saraf menjadi penghubung antara setiap sel, pembuluh darah meliputi setiap sel untuk memberi makanan dan oksigen.
Wallahualam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...