Tilmiz

Saturday 16 February 2013

SELEMBAR RISALAH QAIS


Oleh: Wan Mohd. Huzairi Wan Md. Nor


Bidayah

Pujangga Arab ada berkata, “ Jika anda mahu hidup selepas mati, tulislah sesuatu yang dapat dibaca.”
Saya mulakan tulisan ini dengan pengenalan diri. Meski ramai yang tidak mengenali saya sehingga menyangkakan saya ialah Mahdi atau al-Aqra’ atau Muaz atau al-Buhturi ibnu al-Ja’d. Namun sebagaimana yang disebut oleh Abu Bakar al-Walibi, saya ialah Qais ibnu Mulawwah, seorang pemuda dari bani Amir.
Saya menulis risalah ini dengan satu tujuan satu harapan satu seruan; mahu mengajak semua menghiaskan diri dengan sifat-sifat para anbiya’, ashab dan tabi’en.

Ikhlas

Ikhlas ialah membersihkan perbuatan daripada perhatian manusia. Hasilnya selamat daripada seksaan dan celaan, serta memperolehi darjat yang tinggi di syurga.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: Padahal tidak diperintahkan mereka melainkan supaya mereka menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kerana-Nya. (Al-Bayyinah: 5)
Dalam sebuah khabar musnad, Rasulullah SAW dikhabarkan oleh Jibril A.S, sesungguhnya Allah Taala berfirman: Ikhlas ialah satu rahsia daripada rahsia-Ku, Aku menitipkannya kepada hati yang Aku kasihi daripada hamba-Ku.


Tawadhu’

Al-Fudhail ibnu ‘Iyadh berkata: Allah SWT mewahyukan kepada seluruh bukit, sesungguhnya Aku ingin berbicara dengan seorang nabi daripada kamu. Maka seluruh bukit meninggikan diri melainkan Thur Sinai yang merendahkan dirinya (tawadhu’). Lalu Allah SWT berbicara dengan Musa A.S di atasnya kerana ia bersifat tawadhu’.
Wahab berkata: Tertulis di dalam sebahagian kitab yang diturunkan oleh Allah Taala, sesungguhnya Aku telah mengeluarkan zarah insan daripada sulbi Adam. Maka Aku tidak mendapati sekeping hati yang terlalu tawadhu’ melainkan hati Musa A.S. Kerana itulah Aku memilihnya sebagai nabi dan Aku berbicara dengannya.
Manakala Umar ibnu Abdul Aziz pula tidak sujud dalam solat melainkan di atas tanah kerana beliau amat tawadhu’ kepada Tuhannya.

Zuhud

Zuhud bererti memalingkan hati daripada dunia.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: Katakanlah: Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa. (An-Nisa: 77)
Ahmad ibnu Hanbal berkata: Zuhud terbahagi kepada tiga bahagian: Pertama meninggalkan yang haram dengan hati iaitu zuhud al-awam. Kedua meninggalkan berlebihan daripada yang halal iaitu zuhud al-khawwas, sedang ketiga meninggalkan perkara yang menyibukkan manusia daripada Allah Taala iaitu zuhud al-arifin atau khawasul khawwas.
Sufian ath-Thauri pula berbicara: Dunia ini persis roti yang bermadu di atasnya. Lalat datang kepadanya untuk makan lalu jatuh di atas madu. Sayapnya terputus lalu mati. Namun sekiranya ia melewati pada roti yang kering, nescaya ia melaluinya dengan selamat.

Syukur

Syukur ialah pengiktirafan terhadap nikmat daripada al-Mun’im dengan merendah diri.
Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepadamu. (Ibrahim: 7).
Syukur terbahagi kepada tiga bahagian: Syukur dengan lidah, dengan badan dan anggota, dan dengan hati.
Kata ulama: Asy-syakir ialah yang mensyukuri terhadap pemberian (daripada Allah Taala) dan asy-syakur ialah yang bersyukur terhadap bala. Asy-syakir ialah yang mensyukuri terhadap yang ada dan asy-syakur ialah yang mensyukuri terhadap apa yang tiada.
Daud A.S bertanya: Tuhanku, bagaimana lagi aku mahu bersyukur kepada-Mu sedang kesyukuranku kepada-Mu juga adalah nikmat daripada-Mu? Lalu Allah mewahyukan kepadanya: Sekarang sesungguhnya engkau telah bersyukur kepada-Ku.

Redha

Redha bererti meninggalkan ikhtiar. Firman Allah Taala bermaksud: Allah telah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. (al-Mujadalah: 22)
Ulama khilaf pada redha antara ahwal atau maqamat? Ahli Khurasan berpendapat, redha sebahagian daripada maqamat iaitu kemuncak tawakkal, lalu seorang hamba boleh sampai kepadanya dengan usaha. Manakala ahli Iraq mengatakan, ia sebahagian daripada ahwal dan ia bukan usaha hamba.
Ustaz Abu Ali ad-Daqaq berkata: Bukanlah keredhaan engkau tidak merasai bala, hanyasanya keredhaan engkau tidak membantah hukum dan qadha.

Nihayah

Saya menjunjung kasih yang tidak terhingga kepada Imam Abdil Karim ibni Hawazin ibni Abdil Malik ibni Thalhah ibni Muhammad an-Naisaburi al-Qusyairi asy-Syafie (376-465H) yang telah menulis Risalah Qusyairiah sehingga dapat pula saya menukilkan risalah yang selembar ini untuk disebarkan kepada semua. Seumur hidup saya, saya telah meninggalkan bait-bait syair cinta di dalam Diwan Majnun-Laila buat pengajaran generasi mustaqbal. Namun tidak ramai pula yang memahami dan memanfaatkannya melainkanudaba dan sufiyyin sahaja.
Saya mengakhiri tulisan ini dengan satu penegasan. Saya ialah Qais ibnu Mulawwah atau Majnun kekasih Laila, kekasih setia pencinta lara yang hidup pada zaman Amawi. Sayalah manusia yang pernah mengadu disitar Kaabah: Ya Allah! Kurniakan kepadaku Laila dan dekatkanlah dia kepadaku. Saya bukannya Wan Mohd. Huzairi sebagaimana nama yang tertulis. Siapa dia untuk menyusun risalah seperti ini!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...